top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Sayang Mereka Tiada Ganti

Oleh: Nurul Farhana binti Abdullah

Penyunting: Deliyana Darwes


Sumber: Google

Sempena musim konvokesyen yang sedang berlangsung pada minggu ini pelbagai detik yang dapat kita lihat yang dikongsikan oleh netizen. Hari konvokesyen ini juga merupakan detik yang bersejarah buat para graduan dan keluarga mereka. Masakan tidak, penat lelah menuntut ilmu selama beberapa tahun akhirnya terbalas dengan kejayaan. Namun, perjalanan untuk mencapai puncak ini bukanlah mudah dan pastinya mempunyai onak dan duri. Disebalik kejayaan ini, pasti terselitnya dua insan yang sentiasa menyokong tanpa henti lelah dalam diam. Ya, insan itulah yang bergelar ibu dan ayah!


Kasih Ibu dan Ayah


Sempat penulis lihat di laman Twitter detik yang dikongsikan oleh pemilik akaun @chiccbi di mana kegigihan orang tuanya yang datang dari Ipoh ke Johor semata-mata untuk meraikan hari konvokesyen beliau. Detik tersebut dilihat begitu menyentuh perasaan netizen yang lain apabila keadaan kesihatan ibu dan ayahnya yang kurang baik tetapi pengorbanan mereka yang sanggup datang dari jauh untuk meraikan hari yang bahagia itu amat ternilai baginya.


Ibu Bapa Kunci Syurga


Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa itulah pepatah yang penulis merasakan amat jelas untuk menunjukkan betapa dalamnya kasih orang tua kepada anak mereka. Jika ditanya pada ibu bapa sendiri pastinya tidak dapat digambarkan bagaimana besarnya perasaan sayang mereka kepada kita. Pastinya mereka juga insan yang sanggup berkorban masa, nyawa dan juga tenaga dalam membesarkan anak-anak. Segala permintaan pasti akan dipenuh mengikut kemampuan mereka. Malah mereka lebih menfokuskan keperluan anak berbanding diri sendiri. Asalkan anak berasa gembira sudah cukup bagi mereka. Lihat, betapa besarnya pengorbanan mereka dalam mendidik dan membesarkan kita.


Oleh itu,seharusnya pengorbanan mereka perlu kita kenang walaupun kita tahu jasa yang mereka taburkan tidak mampu untuk kita membayar harga pengorbanan mereka. Selagi mereka masih bernyawa, hargailah dan berbaktilah kepada mereka semampu yang boleh.


sumber : Google

Tanggungjawab Kita Sebagai Anak


Disini penulis kongsikan antara tanggungjawab kita sebagai anak yang boleh kita amalkan untuk menjadi anak yang soleh dan solehah menurut perkongsian daripada Ros Izanuri Jamaluddin di dalam Majalah Demi Cinta.


Setiap anak wajib mentaati ibu bapa selagi arahan atau kehendak kedua-dua ibu bapa itu tidak bercanggah dengan hukum Allah. Sebagai seorang anak, kita wajib melaksanakan hak-hak lain kepada ibu bapa seperti memberikan nafkah yang sesuai dengan kehendak syarak, menghormati, berkhidmat dan merendah diri kepada mereka. Kita sebagai anak dilarang untuk meninggikan suara, memandang mereka dengan pandangan yang tajam, apatah lagi memanggil ibu bapa dengan nama mereka. Tindakan ini dilihat sebagai satu sikap yang biadap dan menyakitkan hati.


Selain itu, kita sebagai anak perlu untuk sentiasa memohon doa rahmat dan keampunan buat ibu bapa. Doa merupakan asbab untuk anak-anak lebih memahami ibu bapa. Seperti kita tahu dia ini merupakan tanda ingatan. Dengan memperbanyakkan berdoa akan mendekatkan diri dan hati kita dengan ibu bapa.


Menagih Reda Ibu Ayah


Membiasakan untuk makan dan bermusafir bersama dan sentiasa berbakti untuk mereka juga merupakan salah satu usaha dalam mengeratkan hubungan kita bersama orang tua. Melalui aktiviti ini yang sering dilakukan bersama pastinya akan menambah kasih sayang sesama keluarga. Jika anda sudah berkeluarga dan tinggal berasingan, selalulah berkunjung dan ibu bapa dan terus menggandakan bakti kepada ibu bapa.


Banyakkan juga bertanya khabar mereka yang jauh di mata jangan setelah kehilangan barulah timbul rasa untuk menghargai ibu dan ayah. Itulah resepi dan tunjang untuk kita terus membina mahligai bersama keluarga. Mengenang jasa ibu bapa yang tidak mungkin terbalas, sentiasalah kita bertekad untuk sentiasa berbuat kebaikan dan elakkan untuk melakukan perkara yang menggoreskan hati mereka.


Suka untuk penulis kongsikan hadis daripada Jabir r.a yang meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Berbaktilah kamu kepada ibu bapa kamu,nescaya anak-anakmu pun akan berbakti kepadamu” (Riwayat Tabarani)


Menjaga hati ibu bapa adalah kewajipan bagi setiap anak. Malah keberkatan hidup daripada Tuhan diperoleh jika kedua ibu bapa menyenangi dan meredai anaknya. Sentiasalah berusaha untuk menjadi anak yang terbaik buat ibu dan ayah kerana mereka tiada galang ganti!

70 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page