top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Sedap Mata Memandang, Sedap Telinga Mendengar

Oleh : Muhammad Sahrul Fahiz Mat Ariff

Penyunting : Nurul Farhana binti Abdullah


Sumber: Mohamad Yusuf

BANGI, 21 DIS – Qari UKM, Mohamad Yusuf Kassim,23, mula menjadi sebutan selepas dinobatkan sebagai johan dalam Majlis Tilawah Al-Quran Antara Universiti Peringkat Kebangsaan, yang berlangsung di Institut Latihan Islam Malaysia, (ILIM), baru-baru ini.


Kejayaan cemerlang itu disifatkan satu pencapaian yang terbaik selepas menewaskan qari dari Universiti Sultan Azlan Shah, (USAS) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, (KUIS), yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.


Menurutnya, bukan hanya perbezaan markah yang kecil memisahkan kedudukannya dengan tempat kedua malah dia juga perlu bersaing dengan 22 peserta lain daripada pelbagai universiti di seluruh Malaysia.


Kemenangan itu membolehkan Mohamad Yusuf membawa pulang wang tunai bernilai RM1,500.00, jam taqwim solat, 2 naskah al-quran, al-quran digital, pakej percutian, sijil dan piala, selain terus mengharumkan nama universiti di persada tilawah kebangsaan.


Kejayaan manis yang diraih penuntut sarjana muda pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah itu disifatkan sebagai kejayaan kedua cemerlang selepas pernah menyandang johan bagi Pertandingan Tilawah Al-Quran di Karnival Kesenian Islam Anak Johor, pada bulan yang lalu.


“Kejayaan ini merupakan satu kejayaan yang cukup bermakna buat saya apabila dapat mengharumkan nama varsiti kita dan saya terharu atas sokongan dan dorongan yang mengiringi saya”, ujarnya.


Anak kelahiran Kota Tinggi, Johor ini juga turut berkata persaingan kali ini cukup sengit namun dimanfaatkan sebaiknya peluang ini untuk menimba pengalaman bagi mempersiapkan diri untuk pertandingan akan datang.


Terdahulu, beliau ada mencadangkan agar pihak universiti mempertimbangkan ideanya untuk membuka kelas tarannum di kampus. Hal ini berikutan, terdapat sebilangan pelajar yang menunjukkan minat, namun tiada platform yang sesuai untuk membimbing mereka.

234 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page