top of page
  • Writer's pictureNurnabila Huda Subandry

Sejauh Manakah Standard Kecantikan K-pop Mempengaruhi Peminatnya?

Penulis: Nurnabila Huda Subandry

Penyunting : Kiranraj Perupathy


Sumber Foto: South China Morning "K-beauty: Sisi gelap Korea Selatan yang obses terhadap wanita kelihatan sempurna selamanya."


Daripada berkulit pucat hingga berwajah kecil, berbadan ramping hingga berkaki langsing, Korea Selatan telah mempraktikkan idea kecantikan ini sejak dahulu lagi.


Kajian bertajuk Gender, Globalization and Aesthetic Surgery in South Korea menunjukkan dari tahun 2008, terdapat 20 peratus gadis muda Korea telah menjalani pembedahan kosmetik untuk mencapai standard kecantikan. Wanita dan lelaki Korea tidak menolak standard ini, malah menggemarinya pada konsistensi yang luar biasa. Akses kepada pakar bedah plastik yang terkenal di Korea Selatan menjadikannya lebih mudah bagi orang Korea untuk mencantikkan diri mereka kepada estetika Korea.


Korea Pop atau dikenali sebagai K-pop, merupakan gelombang industri hiburan Korea Selatan yang telah melanda seluruh dunia. Artis K-pop adalah pengaruh besar di Korea dan bertanggungjawab mempromosikan sebahagian besar standard kecantikan yang ditetapkan oleh orang Korea. Mereka dianggap mengikuti trend kecantikan, jangkaan dan piawaian Korea Selatan.


K-pop yang kini dikenali dunia telah membawa idea konsep kecantikan ini kepada dunia dan mempengaruhi peminat dari seluruh dunia.


Budaya Perbandingan Tidak Realistik


Orang Korea cenderung membandingkan diri mereka dengan apa yang mereka lihat di skrin televisyen atau media sosial. Terdapat beribu-ribu saluran di YouTube dan rancangan di televisyen yang tertumpu kepada produk kecantikan Korea, fesyen dan teknik pelangsingan badan. Kecenderungan untuk membandingkan penampilan mereka sendiri secara negatif dengan apa yang mereka lihat di televisyen, termasuk idola K-pop adalah membimbangkan.


Tekanan untuk memenuhi piawaian kecantikan Korea yang tidak realistik ini tidak hanya sampai kepada peminat dan penonton tempatan, ia juga telah mencapai peminat global. Semakin ramai peminat global mula menginginkan pembedahan plastik untuk mendapatkan penampilan standard kecantikan Korea untuk wanita, termasuk lelaki.



Sebelum dan selepas: Oli London membelanjakan lebih $140,000 untuk pembedahan kosmetik, Sumber Foto: Daily Mail UK


Tanggung Kesakitan Demi Kecantikan


Oli London ialah seorang personaliti media sosial terkenal dan merupakan peminat kumpulan BTS, penyanyi dari Korea Selatan. London menjalani lapan belas pembedahan kosmetik yang menyakitkan dan menghabiskan wang lebih $140,000 untuk menjadikan wajahnya mirip salah seorang ahli BTS iaitu Park Jimin. Beliau tekad meniru rupa Jimin BTS termasuk melakukan pembedahan kelopak mata, muka, hidung dan bibir.


Sepanjang tahun 2013, London tinggal di Korea Selatan dan telah mengakui bahawa dia taksub dengan budaya Korea, bahasanya, dan orangnya sendiri. London jatuh cinta dengan standard estetika dan kecantikan Korea dan itu mencetuskan dia untuk memulakan transformasinya pada tahun yang sama.


Ketaksuban London terhadap standard kecantikan Korea adalah bukti nyata bahawa konsep dan estetika yang ditetapkan oleh orang Korea terhadap tokoh awam, selebriti dan idola K-pop adalah tidak masuk akal. Peminat yang taksub sanggup membayar beribu-ribu ringgit semata-mata untuk kelihatan mirip seperti artis kegemaran mereka.


Standard Kecantikan Bukan Untuk Semua


Walaupun piawaian kecantikan mungkin berbeza dari sesebuah negara ke negara yang lain, setiap satu daripadanya memainkan peranan penting dan berpengaruh dalam setiap masyarakat dan budaya secara teknikal. Tokoh awam dan selebriti juga adalah orang yang bertanggungjawab untuk membantu mempengaruhi trend kecantikan masyarakat melalui iklan dan media. Bergantung pada negara dan wilayah, corak kecantikan yang ideal sangat berbeza dan boleh mencipta beberapa kejutan budaya. Apabila kita bercakap tentang kecantikan, setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza. Tidak ada cara sesiapa pun boleh menetapkan nilai mutlak kepadanya.


Meletakkan standard sebagai keutamaan bermakna mengambil berat tentang apa yang orang katakan tentang diri kita. Ia adalah tabiat yang tidak sihat, dan tiada siapa yang harus hidup dengan memenuhi jangkaan orang lain. Penetapan ini boleh mendatangkan akibat yang serius termasuk kurang keyakinan diri, kemurungan dan perasaan ingin bunuh mungkin ditanggung oleh peminat yang taksub.


58 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page