top of page
  • Writer's pictureZurain Syahira

Sumbangan Jadi Buangan: Pelajar Cadang Agihan Makanan Secara Sistematik

Penulis: Zurain Syahira Jupri

Penyunting: Yasmin Alyaa Fathinah Jafpar


BANGI, 16 April - Proses agihan juadah berbuka puasa kepada para pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang tinggal di kolej perlu dilaksanakan dengan lebih sistematik bagi mengelakkan pembaziran.


Ini adalah susulan dakwaan hampir 100 pek juadah berbuka puasa tidak diambil akibat kekurangan pelajar di kolej kediaman sekitar UKM telah menyebabkan pembaziran melampau pada hujung minggu lalu.


Agihan juadah berbuka puasa yang diedarkan setiap hari kepada semua kolej kediaman di UKM itu telah berlangsung bermula 1 Ramadhan yang lalu oleh Pusat Islam Universiti kepada wakil kolej masing-masing.


“Kebanyakan pelajar pulang ke rumah masing-masing atau keluar pada hujung minggu untuk berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan. Ini menyebabkan lebihan makanan yang disumbangkan terbiar dan akhirnya menjadi satu pembaziran,” kata Eksekutif Kerohanian dan Moral Kolej Rahim Kajai, Hafizuddin Anuar semasa agihan juadah berbuka puasa di Kolej Rahim Kajai Sabtu lalu.


Menurut Pengetua Kolej Rahim Kajai, Prof Madya Dr Razaleigh Muhamat, berkata pihak bertanggungjawab perlu membuat satu sistem agihan yang sistematik berdasarkan bilangan pelajar di kolej supaya makanan yang diagihkan tidak berlebihan dan akhirnya mengundang kepada pembaziran.


Bagi Muhammad Akmal, 22, pelajar tahun 2 UKM, pihak yang ingin menyalurkan sumbangan juga boleh berhubung dengan wakil pelajar untuk memastikan sumbangan yang akan dihantar tidak berlebihan dengan jumlah pelajar serta dapat memudahkan urusan wakil kolej mengagihkan sumbangan secara efektif.


Selari dengan kempen ‘Hargai Makanan, Elak Pembaziran’ oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp), sumbangan makanan yang diberikan oleh pelbagai pihak luar ini seharusnya menjadi perkara yang perlu diambil serius dan agihan sumbangan juadah perlu dilaksanakan dengan lebih sistematik supaya dapat mengelakkan pembaziran.

116 views1 comment
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page