top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

TBS Meriah Dipenuhi Perantau Sempena Cuti Deepavali

Penulis: Mohamad Noor Amirul Mokhtar

Penyunting: Nur Farzana Amira Mohd Zaki


Sumber: The Star


KUALA LUMPUR, 11 Nov - Suasana di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) meriah dipenuhi dengan orang ramai yang menunggu giliran untuk menaiki bas menjelang sambutan Hari Deepavali yang diraikan pada 12 November.


Berikutan cuti panjang sempena sambutan Hari Deepavali bermula 10 hingga 13 November, ramai rakyat Malaysia terutama bagi penganut Hindu yang berada di perantauan mengambil peluang untuk meraikan pesta cahaya bersama ahli keluarga di kampung halaman.


Nadi Bangi sempat menemu bual penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Thusenthiran Durai, 23, yang baharu sahaja tiba di TBS daripada Kelantan berkata, dia membeli tiket bas seminggu awal kerana bimbang akan kehabisan tiket untuk pulang ke rumah.


"Saya risau bila mendengar rakan-rakan lain bercakap hanya sedikit tiket berbaki. Tanpa berfikir lama saya terus membeli tiket seminggu awal kerana takut kehabisan.


"Bila saya buka aplikasi pembelian tiket, sudah lebih separuh penuh pembelian untuk bas ke TBS," katanya yang bakal menyambut Deepavali di Shah Alam.


“Sejujurnya saya tidak merasa excited untuk beraya seperti tahun-tahun sebelum ini namun disebabkan saya jarang pulang ke rumah saya mahu mengisi cuti dengan meluangkan masa bersama keluarga yang sekian lama tak jumpa,” katanya yang mengambil jurusan Sains Gunaan (Teknologi Bahan).


Rakannya yang juga penuntut UMK, Siva Sanggari, 23, berkata dia turut membeli tiket pulang ke Johor Bahru seminggu lebih awal bagi memastikan tiket masih boleh diperolehi.


"Berbanding dengan destinasi lain, tiket ke Johor Bahru sentiasa ada dan senang nak dapat. Tapi disebabkan perayaan kali ini disekalikan dengan cuti hujung minggu, saya bimbang jika ramai mahu pulang balik beraya.


“Saya memang gembira sangat sebab dah lama tak balik JB sejak semester bermula jadi saya nak gunakan cuti perayaan ini untuk berjumpa keluarga dan beraya bersama mereka,” katanya yang merupakan mahasiswa dalam jurusan Sains Kelestarian.


Eksekutif Akaun, Shila Ganesh, 28, yang turut meraikan perayaan Deepavali di Johor Bahru berkata, dia membeli tiket tiga hari lebih awal sebelum tarikh kepulangannya.


"Saya rasa gembira sangat sebab masih terdapat tiket yang tersedia walaupun kebanyakannya sudah hampir penuh dengan penumpang.


“Kebiasaannya saya memang membeli secara dalam talian kerana mudah dan di sini juga kita hanya perlu imbas kod QR dengan menggunakan telefon pintar tanpa perlu membuat salinan cetak," katanya yang bekerja di Pulau Pinang.


Peniaga dalam talian, Nishanthi Ravindran, 32, berkata dia pada mulanya bercadang untuk pulang ke Kluang bersama suami namun disebabkan urusan kerja yang tidak dapat dielakkan dia terpaksa pulang bersendirian menaiki bas.


"Sebenarnya nak diikutkan saya balik kampung dengan menaiki kereta bersama suami namun suami ada urusan lain yang lebih penting pada saat akhir.


"Bila saya nak beli memang semua tiket sudah habis tapi pada malam Rabu lepas ada tambahan satu bas ke Kluang jadi saya terus cepat-cepat beli," katanya.


201 views4 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page