top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

“The Caliph Journey” Tarik Minat Bukan Islam

Oleh: Zarith Sofea

Penyunting: Muhammad Haziq



Sumber: Instagram @sekretariatkerohanian_kkm

BANGI, 21 Dis – The Caliph Journey yang dianjurkan oleh Sekretariat Kerohanian dan Pembangunan Sahsiah Kolej Keris Mas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bukan sahaja diadakan untuk pelajar beragama Islam tetapi terbuka kepada pelajar bukan Islam.


Program ini telah berlangsung selama empat hari bermula 12 hingga 15 Disember 2019 yang lalu bertempat di sekitar Kolej Keris Mas UKM.


Antara aktiviti yang dianjurkan dalam program ini ialah kursus pengurusan jenazah, senamrobik muslimat, forum mahasiswa, ladies talk, berinai, style your hijab dan banyak lagi.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan antara semua pelajar khususnya penghuni Kolej Keris Mas UKM dan untuk mengasah bakat kemahiran insaniah dalam kalangan ahli sekretariat.


Malah, tahun ini merupakan tahun kedua penganjuran program selepas kejayaan pelaksanaan program The Journey Fest yang diadakan pada tahun lepas.


Menurut Timbalan Ketua Pengarah 1, Siti Nur Zahirah, kelainan program pada tahun ini adalah dari segi penganjuran aktiviti yang tidak pernah diadakan dari tahun sebelumnya iaitu busking tazkirah, qasidah dan juga forum mahasiswa yang dikendalikan oleh pelajar UKM sendiri.


“Kami turut bekerjasama dengan pihak Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM) untuk menganjurkan aktiviti busking tazkirah yang mana terdapat selingan persembahan busking daripada sekumpulan pelajar Kolej Keris Mas dan tazkirah daripada Ustaz Nushi bin Dato Mahfuz.


“Bukan itu sahaja, pelajar bukan Islam juga berpeluang untuk menyertai aktiviti style your hijab dan menggayakan pelbagai jenis hijab mengikut pilihan mereka menggunakan tudung-tudung yang disediakan,” tambah beliau.


Selain daripada aktiviti style your hijab, mereka juga boleh menyertai forum mahasiswa dan ladies talk yang menyediakan perkongsian ilmiah yang sesuai untuk para pelajar.


“Dengan adanya program seperti ini, saya berpeluang untuk mengenali rakan-rakan dari kolej lain,” jelas Thanaeswaree A/P Dhanapal, 19, Pelajar Fakulti Teknologi Sains Maklumat (FTSM).


Nur Azimah, pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan berkata, program sebegini perlu diteruskan pada masa hadapan kerana pengisian aktiviti yang bukan sahaja memberi faedah kepada pelajar beragama Islam tetapi kepada pelajar bukan Islam secara keseluruhan.


Hampir kesemua penyertaan aktiviti adalah terbuka kepada pelajar UKM tetapi terdapat had penyertaan seramai 40 orang untuk kursus pengurusan jenazah dengan yuran penyertaan serendah RM5.00 sahaja.


Malah, ahli sekretariat turut berpeluang untuk meniaga di tapak jualan yang disediakan dengan membayar sewa tapak sebanyak RM50.


Secara keseluruhan, seramai 60 orang ahli sekretariat yang membantu dalam menjayakan program The Caliph Journey pada tahun ini.

23 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page