top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

UKM Tennis Challenge 2019 Terpaksa Dibatalkan

Oleh : Nur ‘ Ain Syafiqah Rahim

Penyunting : Fatin Nasuha Remle



Sumber : Syahirah Zuhaimi


BANGI, 21 Dis - Kejohanan sukan Tenis yang dianjurkan oleh Citra Asas Tenis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Kelab Tenis UKM terpaksa dibatalkan atas faktor cuaca buruk pada 14 Disember lalu.


Kejohanan UKM Tennis Challenge yang bertempat di gelanggang Tenis, UKM ini merupakan acara yang diadakan setiap tahun namun pada tahun ini terpaksa dibatalkan gara-gara hujan lebat yang tidak berhenti dari pagi hingga waktu petang.


Seramai 48 peserta yang menyertai acara kejohanan ini mengikut kategori iaitu lelaki sebanyak 16 pasangan dan perempuan adalah 8 pasangan.


Wan Ahmad Munsif Wan Pa, pensyarah Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti UKM selaku jurulatih Kelab Tenis UKM berkata, “tahun ini adalah kali pertama, kejohanan UKM Tennis Challenge ini tidak berjalan dengan sempurna dan berasa agak terkilan apabila memikirkan para peserta yang hadir awal pagi tetapi tidak berpeluang untuk bermain disebabkan gelanggang yang basah dan licin akibat hujan lebat,”


“Maka, perancangan untuk tahun hadapan, kejohanan ini tidak akan dijalankan pada hujung tahun tetapi akan cuba diawalkan seperti bulan Oktober bagi mengelak musim tengkujuh di kawasan UKM,” katanya lagi.


Acara kejohanan ini dilaksanakan bagi memenuhi keperluan subjek citra Asas Tenis yang menuntut para pelajar kelas citra ini merasai pengalaman dalam mengelolakan sebuah kejohanan sukan Tenis.


Menurut Ketua Ahli Jawatan Kuasa Teknikal UKM Tennis Challenge 2019, Amir Izwan Sarifuddin, berkata “sambutan kejohanan pada tahun ini lebih baik berbanding tahun lepas kerana pihak kami telah membuka kategori lelaki dan perempuan serta kuota untuk kedua-dua kategori penuh,”


“Namun begitu, nasib tidak menyebelahi kami apabila kejohanan ini gagal diteruskan demi menjaga keselamatan para peserta kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan,” tambah Amir, pelajar Kejuruteraan Mekanikal Tahun 3 dari Fakulti Kejuruteraan Alam Bina, UKM.


Kata Ahmad Zarul, 28, selaku peserta luar Kejohanan UKM Tennis Challenge 2019, “Saya memahami situasi yang berlaku hari ini, kerana saya sudah biasa menyertai perlawanan sukan Tenis yang dijalankan oleh pihak lain,”


“Jadi, saya harap pihak UKM dapat mengambil iktibar dengan apa yang berlaku hari ini supaya melaksanakan kejohanan ini dengan lebih terancang untuk masa hadapan dan disarankan kejohanan ini diadakan di lokasi yang tertutup seperti Kompleks Sukan Tenis Negara, Jalan Duta.”


Bagi menentukan pemenang untuk acara kejohanan ini apabila berhadapan dengan situasi seperti ini, maka semua peserta telah sedia maklum bahawa mereka akan dikira sebagai menang bersama.


Kaedah menang bersama yang dimaksudkan adalah jumlah keseluruhan wang kejohanan yang ditawarkan akan dikumpulkan kemudian dibahagikan kepada setiap peserta supaya adil dan tidak berlaku ketidakpuasan hati.


Kejohanan ini bukan sahaja disertai oleh para pelajar UKM bahkan juga peserta luar yang hadir dari pelbagai negeri, maka pihak penganjur terpaksa membatalkan hasrat penangguhan acara di hari yang lain.


Yuran kemasukan yang dikenakan kepada para peserta kejohanan ini adalah sebanyak RM 80 untuk pelajar UKM dan RM 90 untuk peserta dari luar.

51 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page