top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

500,000 Pengunjung Sasaran Pesta Buku Selangor Pada Tahun Ini


Oleh: Fatihah Roslan

Penyunting: Farahin Fadzil


Sumber: Youtube- TVSelangor channel



BANGI, 7 Mac – Acara yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) iaitu acara Pesta buku Selangor 2020 menyasarkan kehadiran sebanyak 500,000 pengunjung yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) bermula dari 27 Febuari hingga 8 Mac 2020 pada jam 10.00 pagi hingga 9.00 malam, manakala pada hari minggu berlanjutan hingga 10.30 malam.


Pesta Buku Selangor 2020 ini merupakan sebuah acara yang diadakan bertujuan untuk memupuk minat membaca di kalangan rakyat Malaysia dan membantu menambah ilmu pengetahuan sambil mengasah minda rakyat untuk berfikiran secara kritikal dengan menyertai aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan.


Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Bin Shari berkata, Pesta Buku Selangor 2020 ini merupakan pemangkin kepada budaya ilmu dan juga strategi identiti sesebuah bandar dan negara maju.


“Pesta Buku Selangor akan sentiasa progresif dengan keperluan semasa masyarakat yang membawa pembaca, penerbit dan pengarang bersama untuk menyambung dan mencari minat mereka terhadap buku, agar ia konsisten sebagai budaya ilmu.


“Pesta buku ini juga mampu menjadi salah satu faktor yang menjana pertubuhan ekonomi, kerana acara ini juga dilihat sebagai penyumbang kepada industri pelancong.” tambah beliau.


Nurliyana Izzati, pelajar UITM Shah Alam berkata, “Program pesta buku sebegini bukan sahaja dapat membantu dalam menambah ilmu pengetahuan saya, tetapi aktiviti yang disediakan di pesta buku ini dapat mengasah kemahiran saya seperti kemahiran berfikir dan berkomunikasi.”


Shasharina, pelajar UITM Shah Alam pula berkata, “Pesta buku ini memudahkan saya untuk mencari bahan bacaan yang baharu serta mencari buku kajian untuk pembelajaran saya di universiti.


Tambah beliau lagi, “Saya dapat bertemu dengan beberapa pengarang buku dan hal ini membuatkan saya berminat untuk mencuba membaca genre buku yang berlainan daripada yang selalu saya baca.”


Antara aktiviti yang dianjurkan di dalam program Pesta Buku Selangor 2020 ini ialah pertandingan mewarna dan membaca untuk kanak-kanak, seminar etnosains Melayu, seminar pemikiran Islam, Kids Station Stem Cube, bengkel magik rubik, cabaran hotmath dan slot khas bersama Persatuan The Lost Food Project.


Pesta Buku Selangor 2020 ini wajar diiktiraf sebagai acara budaya ilmu kerana jualan buku dan juga aktiviti menarik yang disediakan sememangnya membantu memupuk minat membaca pengunjung di sini.

54 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page