top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Warna-Warni Penyokong Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023

Penulis: Aisyah Antasya binti Shamsol Jazlisham 

Penyunting: Muhammad Amir Ridzuan bin Ruslee


Sumber Foto: Harian Metro 


BUKIT JALIL, 8 Dis: Gegak gempita suasana di Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan akhir Piala Malaysia kelihatan begitu meriah dan bersemangat dengan rata-ratanya dihadiri oleh penyokong Terengganu Football Club (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT). 


Tinjauan yang dilakukan di luar stadium sebelum perlawanan bermula, kelihatan para penyokong sanggup mandi hujan demi menyaksikan perlawanan dari pasukan negeri masing-masing. Malahan ada juga penyokong memakai pakaian tradisional yang melambangkan negeri mereka.


“Walaupun kita tahu peluang untuk TFC menang adalah tipis melawan JDT, tetapi kami tetap mahu adakan kemeriahan itu semeriah yang mungkin. Oleh itu kami memilih untuk membuat tema pengantin pada tahun ini. Baju yang kami pakai ini adalah baju-baju telah sedia ada. Selebihnya kami meminjam daripada saudara-mara. Setiap tahun kami membuat kelainan dalam menghadiri perlawanan Piala Malaysia. 


“Seluruh peminat Terengganu sudah semestinya mahu menjadi juara pada malam ini. Tetapi andai kata kami tidak menang pun, kami tetap happy sebab telah layak ke final dan ianya sudah menjadi sebuah kemenangan buat kami rakyat Terengganu”, kata Shaharen, penyokong TFC. 


Anak kepada Shaharen iaitu Shahanieza Nur Aisyah yang mengenakan busana sepersalinan songket tersebut menyatakan bahawa dia tidak kisah berpanas di stadium demi menunjukan sokongan kepada pasukan negerinya. 


“Satu sahaja saya boleh cakap, kami mahukan suasana itu. Saya sanggup berpanas begini demi kad pengenalan nombor 11. Kami juga turut menempah pelekat untuk diletakan pada replika Piala Malaysia yang kami buat sendiri ini”, ujar Shahanieza Nur Aisyah. 


Terdapat juga penyokong dari TFC yang memakai topi pesawah sebagai simbol negerinya dan bendera Palestin di kepala sebagai tanda solidariti kepada negara yang sedang bergolak tersebut. 


“Topi yang saya pakai ini adalah melambangkan Terengganu itu sendiri dan bendera Palestin ini pula sebagai tanda peringatan yang kita masih tetap menyokong mereka”, kata Mohd Khairudin.


Malahan, salah seorang penyokong yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) turut hadir bagi memeriahkan suasana. Kekurangan fizikal bukanlah penghalang bagi mereka untuk turun padang bagi menyokong pasukan yang bertanding pada malam tersebut. 


“Untuk makluman, bagi golongan OKU dan juga pembawa mereka, masuk adalah percuma”, ujar Mohammad Ariffin Roslee, penyokong JDT. 


“Oleh itu, sempena Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa pada baru-baru ini, saya mahu mengambil peluang untuk menyampaikan pesanan kepada semua golongan OKU di luar sana agar marilah kita bersama-sama menyokong perlawanan bola sepak di negara kita. Kita main biarlah untuk seronok-seronok dan tiada timbulnya pergaduhan antara pihak penyokong”, tambah Mohammad Ariffin Roslee lagi. 


Tidak kira apa jua keputusan permainan, pihak pasukan JDT dan TFC walau bagaimanapun telah memenangi hati para penyokong mereka. Sokongan yang jitu telah ditunjukan oleh para penyokong sejak sebelum bermulanya lagi perlawanan.

197 views10 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page